KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa peguam bela utama bagi perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengalami demam dan sakit tekak, dan perbicaraan yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan.

Memetik Berita Harian, ketika awal prosiding hari ini, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berkata menerima panggilan telefon daripada Muhammad Shafee, yang memaklumkan tidak dapat hadir pada pendengaran hari ini.

Menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Shafee, Rahmat berkata suaranya kedengaraan seperti pelakon Hollywood, mendiang Sean Connery.

“Muhammad Shafee mengalami demam panas dan sakit tekak.

"Apabila beliau (Shafee) menelefon (saya awal pagi ini untuk memaklumkan tentang perkara ini), beliau (suaranya) kedengaran seperti Sean Connery,” kata peguam itu memetik laporan berkenaan.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, bagaimanapun berkata contoh yang diberikan itu bukan satu tindakan yang baik memandangkan pelakon berkenaan sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap penangguhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat minggu ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy supaya memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

MalaysiaKini pula melaporkan mahkamah turut menetapkan perbicaraan utama disambung semula pada 21, 25 dan 28 Oktober.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon memanggil Arul Kanda untuk bertindak sebagai saksi terhadap Najib.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.