Polis telah mengenalpasti beberapa orang termasuk ahli pembangkang yang bertemu dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Andre Justo di Singapura berkenaan penjualan maklumat sulit syarikat itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan lanjut.

"Kita siasat dulu sama ada dia terlibat tidak dan saya harap mereka semua memberi kerjasama penuh kepada kita," Khalid memberitahu pemberita semasa rumah terbuka di Bukit Aman hari ini.

"Jika tidak kita akan paksa mengambil tindakan menangkap mereka dan mereman mereka dalam lokap polis," katanya lagi.

Polis Thailand pada Khamis mengesahkan warga Switzerland Xavier Justo ada bertemu dengan pemimpin utama pembangkang dari Malaysia. Pertemuan tersebut diadakan di sebuah hotel di Singapura sebelum menjual maklumat sulit PetroSaudi International kepada pihak ketiga.

TONTON VIDEO: Justo akui berjumpa pemimpin pembangkang

"Pendedahan yang dikeluarkan oleh pihak polis Thailand itu amat serius dan kita akan menyiasat secepat mungkin," kata Khalid.

"Siasatan sudah mula berikutan pendedahan polis Thailand itu akan kita jadikan laporan polis," katanya lagi.

Pada 24 Jun lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan warga Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).