Skip to main content

Malaysia

1MDB: SPRM peroleh perintah larangan transaksi RM6.7 juta

1MDB
Wang berkenaan disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank (RM222,000) and Trust Limited, Barbados (RM6.7 juta). - Gambar fail/1MDB

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transaksi melibatkan wang berjumlah RM6.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada Selasa selepas mahkamah berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan.

Advertisement

Wang berkenaan disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank (RM222,000) and Trust Limited, Barbados (RM6.7 juta).

"Siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM mendapati antara tahun 2014 dan 2019, beberapa individu yang juga pemegang akaun bank serta pengarah syarikat luar negara disyaki terbabit dalam aktiviti menerima, menyembunyi, memindah dan mengubah wang hasil daripada aktiviti haram melalui akaun bank syarikat di Barbados. 

"Susulan itu, mahkamah membenarkan perintah larangan transaksi kewangan melibatkan dua akaun, masing-masing milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan Universal Ventures Fund SCC," jelas kenyataan itu di sini pada Selasa. 

Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, perintah berkenaan selaras dengan komitmen agensi berkenaan untuk terus mengesan, membeku dan melucut hak wang serta aset hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram termasuk di luar negara, berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara. 

"Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan. 

"SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak," katanya.

Must Watch Video