BIDOR: Dua lelaki cedera apabila van yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah treler di Kilometer (km) 352.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pemandu van tersebut tersepit dan memerlukan bantuan anggota bomba bagi mengeluarkannya dari kenderaan.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu van dan treler. Dua lelaki dari van cedera, manakala mangsa dari lori treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Trafik arah selatan dilaporkan sesak sejauh 13 kilometer dan pengguna lebuh raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.