KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menghalang pihak polis menjalankan tugas semasa berlaku kekecohan melibatkan penyokong selepas satu perlawanan bola sepak di Stadium Cheras dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mendapati beberapa penyokong bergaduh selepas menonton perlawanan di antara Kuala Lumpur City dan Selangor FC.

"Pihak polis cuba untuk meleraikan keadaan yang sedang kecoh dan telah mengarahkan kesemua suspek untuk beredar tetapi suspek tersebut tidak mengendahkan arahan yang diberikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi IPD Cheras atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran yang memusnahkan 52 kenderaan di sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia 31 dan 39 tahun itu masing-masing ditahan petang semalam di sekitar blok perumahan berkenaan.

"Kedua-dua lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan seorang daripadanya positif dadah.

Semalam Beh dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan pada jam 4.21 pagi berhubung kejadian itu yang memusnahkan 48 motosikal dan empat kereta di kawasan parkir PPR berkenaan.

-- BERNAMA