Dua pusat perubatan akan beroperasi di Mekah dan Madinah bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada 22,320 jemaah Malaysia pada musim haji tahun ini.

Pusat perubatan di Madinah akan beroperasi di bangunan Tabung Haji Al-Jaffery manakala di Mekah pula berhampiran tempat melontar jamrah.

Konsul Haji Tabung Haji, Datuk Redhuan Sabaruddin berkata 16 doktor pakar, 31 doktor perubatan dan seorang doktor pergigian dari Malaysia akan dibawa oleh Tabung Haji.

"Pasukan ini kita bawa khas dari Malaysia bagi memberi perkhidmatan kepada jemaah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan," kata Redhuan.

Tabung Haji juga akan membawa 250 petugas perubatan dari Malaysia untuk merawat jemaah yang memerlukan rawatan dan pemerhatian kesihatan.

Menurut Redhuan, Pusat Perubatan Tabung Haji menyediakan kemudahan seperti khidmat doktor pakar, khidmat kejururawatan, rujukan pesakit luar, rawatan kecemasan serta rawatan pesakit dalam dan pemulihan.

Perkhidmatan lain yang diberikan adalah rujukan ke Hospital Arab Saudi, stor farmasi dan bekalan, bilik gerakan perubatan, kaunter farmasi pesakit luar, makmal perubatan, fisioterapi dan X-Ray.

Selain itu, klinik juga dibuka di semua maktab penginapan khusus bagi jemaah haji Malaysia.