TAPAH: Seorang pemandu cedera selepas treler dipandunya merempuh belakang sebuah treler lain yang berada di lorong kecemasan di Kilometer 325.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal pagi Ahad.

Kemalangan itu menyebabkan treler yang dirempuh terbalik dan melintang menghalang laluan menghala ke utara.

Berikutan itu, semua lorong arah utara terpaksa ditutup bagi kerja pembersihan kemalangan sebelum laluan kontra diaktifkan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 4.45 pagi.

“Treler yang dilanggar melintang di laluan berkenaan manakala treler melanggar berada di lorong kanan dalam dalam keadaan rosak teruk di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu berusia 38 tahun yang mengalami luka di bahagian muka dan kaki kiri, telah dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Katanya, punca kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian cuai semasa berhenti dan disiasat di bawah Peraturan 113 Peraturan Lalulintas 170/59.

Sementara itu, menurut Twitter Plustrafik, laluan kontra ditutup pada 11.45 pagi dan semua lorong telah dibuka seperti biasa.