20 kawasan R&R PLUS dijadikan Zon Persinggahan Patuh - Fuziah

Fuziah berkata selain kawasan rehat dan pasar terdapat empat lagi premis yang akan melaksanakan program Patuh iaitu pasar raya, kedai serbaneka, restoran dan zon pelancongan. - Facebook Fuziah Salleh
SEREMBAN: Sebanyak 20 Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) membabitkan Negeri Sembilan, Selangor dan Perak dijadikan Zon Persinggahan Patuh (ZPP) bermula hari ini di bawah program Patuh, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh.
Beliau berkata ia bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan dan memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif serta berintegriti khususnya dalam kalangan entiti perniagaan selain menekankan pendekatan kawalan kendiri peniaga terhadap undang-undang.
Beliau berkata pendekatan itu turut menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perdagangan yang adil, beretika serta berdaya saing.
"Pelaksanaan program ini turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi," katanya.
Fuziah berkata selain kawasan rehat dan pasar terdapat empat lagi premis yang akan melaksanakan program Patuh iaitu pasar raya, kedai serbaneka, restoran dan zon pelancongan yang berkuat kuasa awal tahun depan.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Pasar Patuh diharap dapat memperkukuhkn pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam dengan penekanan harga jelas, penggunaan alat timbang tepat dan persekitaran perniagaan yang bersih.
Beliau berkata pelaksanaan Pasar Patuh akan dimulakan di satu pasar awam setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh pasar dalam negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


