Sebanyak 20 ladang babi di Kampung Selamat berdepan tindakan dikuarantin seandainya 181 sampel darah yang diambil positif virus Ensefalitis Jepun (JE).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria berkata, tempoh penutupan ladang berkenaan juga tidak dapat dipastikan selepas keputusan positif atau negatif virus JE dijangka diketahui pada Jumaat.

``Ladang yang dikesan positif JE akan dikuarantin dalam satu tempoh masa yang tidak dapat dinyatakan iaitu sehingga diyakini bebas dari virus itu.

"Selasa lepas aktiviti pensampelan telah dilakukan oleh sepuluh pasukan yang terdiri daripada 40 orang staf. Sampel darah yang diambil dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh bagi tujuan pengesanan kehadiran virus dengan menggunakan teknik 'Polymerase Chain Reaction' (PCR)," katanya.

Tambah Dr Mohamad Azmie, selepas ini pihak veterinar akan melakukan perkara yang sama ke atas 179 lagi ladang babi di seluruh Pulau Pinang selain memantau keadaan di 542 ladang babi di seluruh semenanjung.

Sampel darah haiwan itu diambil ekoran seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli koma disyaki dijangkiti virus JE dan lebih sebulan dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Jelasnya, pada masa ini penyebaran virus JE bersifat sporadik atau sekali sekala dan selain manusia, virus itu juga menyerang kuda.

"Lain-lain haiwan seperti lembu, bebiri, kambing, anjing, kucing, katak, mamalia liar dan burung juga boleh dijangkiti cuma ia tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal dan kita juga mungkin ada membuat sampling ke atas haiwan-haiwan ini selain babi," katanya.

Katanya lagi, faktor berlakunya penyebaran virus itu dipercayai akibat musim panas yang kini melanda Malaysia menyebabkan air banyak digunakan di ladang babi sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk "Culex Tritaeniorhynchus".

"Penternak perlu menjaga kebersihan ladang masing-masing dan membuat saliran perparitan yang baik bagi mengelakkan air daripada bertakung.

"Mereka jugak boleh melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika mengesyaki babi peliharaan dijangkiti virus," ujarnya.

Kata Dr Mohamad Azmie, penternak yang gagal berbuat demikian berdepan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Binatang Pindaan 2013 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM 25,000.