YAN: Lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan selepas bumbung rumah mereka diterbangkan ribut dalam kejadian di Taman Nusantara, di sini pada Khamis malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian mendapati kebanyakan bumbung rumah penduduk rosak diterbangkan angin ribut.

"Kejadian berlaku ketika hujan renyai dan angin kencang hingga menyebabkan bumbung sebahagian rumah penduduk terjejas.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu setakat ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Foto JBPM

Norhamidi berkata, operasi penyelamatan dilakukan malam tadi untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Sementara itu seorang mangsa Ahmad Latif Muhammad, 43, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan ketika itu hujan turun dengan lebat.

“Angin datang berpusing terus terbangkan bumbung bahagian ruang tamu dan bilik hadapan rumah saya.

“Saya hanya mampu membawa isteri dan dua anak berlari keluar untuk menyelamatkan diri. Ini ujian menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk kami dan saya reda,” ujarnya.