Bagi mereka yang meraikan kedatangan dekad baharu malam tadi, anda sebenarnya agak ketinggalan kerana golongan millennial, seperti saya, telahpun meraikan 2020 pada tahun 1991 itu sendiri.

Ia adalah tahun di mana Malaysia memperkenalkan "Wawasan 2020," barangkali antara segelintir negara di dunia ini pada masa itu yang mempunyai pandangan jauh kehadapan melangkaui pelan lima tahun yang biasa.

Pada masa itu, Wawasan 2020 adalah perkataan yang sangat popular dan menjadi perhatian ramai memandangkan ia berkenaan dengan hala tuju yang bakal ditempa Malaysia pada masa depan.

Dan sebagai pelajar semasa era itu, selain sibuk mengira usia masing-masing dalam tempoh 29 tahun lagi, dan menghafal maksud "Wawasan 2020" bagi peperiksaan, ramai daripada kita membayangkan ruang angkasa negara pada masa itu bakal dipenuhi dengan kereta terbang dan bangunan pencakar langit seperti yang dilihat dalam filem seperti Star Trek dan Star Wars.

Negara dan rakyat bersama-sama meraikan gagasan masa depan itu yang merupakan ilham daripada perdana menteri pada masa itu dan juga sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wawasan itu yang mengandungi sembilan cabaran memberikan semangat untuk berusaha ke arah mencapai matlamat yang sama dan memberikan kekuatan semangat diri yang diperlukan golongan muda Malaysia pada masa itu untuk bergerak melangkah ke era baharu.

Hampir tiga dekad kemudiannya, walaupun Malaysia masih belum lagi menjadi sebuah negara maju mahupun mencapai sasaran pertumbuhan atau menangani beberapa cabaran yang disasarkan di bawah "Wawasan 2020", namun ia kekal menjadi sebuah negara yang terus berkembang maju dengan peluang yang besar.

Dari perspektif ekonomi, negara berjaya mengharungi cabaran getir krisis kewangan Asia pada 1997 dan krisis kewangan global pada 2008, hasil daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan sistem yang teguh dan mampu bertahan daripada kejutan ekonomi.

Sejak 2000, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berada pada purata 5.5 peratus, manakala pendapatan perkapita sebenar berkembang hampir 6 peratus setahun - kadar yang membanggakan memandangkan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi negara selama bertahun-tahun.

Ekonomi negara dijangka berkembang pantas sedikit pada 4.8 peratus pada 2020 daripada 4.7 peratus yang diunjurkan bagi 2019, meskipun faktor luaran yang tidak menentu seperti perang perdagangan.

Malaysia juga kekal sebagai antara negara yang paling mesra perniagaan.

Selain sentiasa meningkatkan kemajuan sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, Malaysia juga bergerak seiring dengan era ekonomi dan teknologi disruptif walaupun pada kadar yang perlahan.

Era telefon talian tetap dan jam analog kini telah berakhir, perkhidmatan perbankan, tempahan kereta atau makanan kini boleh dilakukan di hujung jari sahaja.

Siapa sangka suatu hari nanti akan ada bank tanpa kehadiran fizikal langsung - tidak lama lagi sehingga lima lesen mungkin akan dikeluarkan kepada pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital bagi menawarkan sama ada perniagaan perbankan konvensional atau Islam mereka di Malaysia.

Meskipun masih baharu, ekonomi digital dijangka menyumbang lebih daripada 21 peratus kepada KDNK negara pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.

Tetapi itu adalah perspektif keseluruhannya.

Di tahap yang lebih terperinci, diperhatikan bahawa dividen pertumbuhan negara tidak diagihkan secara mencukupi ke semua segmen masyarakat.

Ekonomi yang berkembang pantas dan perubahan landskap keperluan pekerjaan nampaknya telah mewujudkan pecahan sosial -- asas dasar yang dibina Malaysia - masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan pelbagai bahasa

Kos sara hidup merupakan antara isu paling penting.

Justeru, sistem pendidikan perlu bermanfaat pada masa depan kerana peningkatan produktiviti dan menambah baik pendidikan dalam meningkatkan paras pendapatan adalah penting untuk pendekatan lebih mampan bagi menangani isu kos hidup.

Malaysia masih berada di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam matematik, bacaan dan sains - pengetahuan yang amat diperlukan untuk membangunkan sebuah negara yang lebih baik.

Malaysia juga sudah mencapai kemajuan besar dalam menambah baik tadbir urus dan membasmi kemiskinan, selain sistem pendidikannya yang masih boleh ditambah baik.

Bekas Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Jun 2019 berkata pelaburan dalam pendidikan berkualiti tinggi boleh mengurangkan ketidakpadanan kepakaran, menaikkan gaji dan membantu Malaysia memanfaatkan potensi teknologi baharu.

Kerajaan baru-baru ini telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mengambil alih daripada "Wawasan 2020" - dengan sasaran utama menyusun semula ekonomi berintensifkan buruh kemahiran rendah negara kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan menyediakan standard kehidupan baik kepada semua rakyat Malaysia ada akhir dekad ini.

-- BERNAMA