KUALA LUMPUR: Resolusi terbaharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 21 Dis menggesa semua bentuk keganasan di Myanmar dihentikan dan ditangani segera merumuskan betapa mencabarnya isu-isu antarabangsa pada 2022 bagi Malaysia dan dunia.

2022 juga menyingkap pelbagai perubahan geopolitik utama didorong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine - dengan langkah yang diambil Presiden Vladimir Putin itu turut dirasai oleh Malaysia.

Kadar inflasi meningkat didorong oleh operasi ketenteraan Rusia termasuk sekatan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) memburukkan lagi keadaan di seluruh dunia.

Dolar AS juga berada dalam aliran menaik pada tahun ini - menambahkan lagi tekanan ke atas ekonomi global yang lemah.

Sementara itu, ketegangan antara AS-China turut memuncak pada Ogos apabila Speaker Dewan Perwakilan AS melawat Taiwan selepas singgah di Malaysia - manakala China melepaskan kemarahannya di Selat Taiwan dengan mengerahkan tenteranya.

Krisis Myanmar masih mendominasi agenda ASEAN pada 2022, namun titik perubahan bermula apabila Malaysia lantang bersuara mempersoalkan pendirian tidak campur tangan kumpulan 10 anggota itu sehingga dilihat menjadi penghalang kepada penyelesaian krisis berkenaan.

Malaysia menggesa Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar untuk mengadakan perbincangan membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk wakil daripada Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC).

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Luar NUG, Zin Mar Aung, di Washington D.C. di luar Sidang Kemuncak ASEAN-AS pada Mei.

Memandangkan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang diketengahkan Pemimpin ASEAN di Jakarta pada April 2021 tidak menunjukkan sebarang kemajuan yang diingini sehingga kini, Malaysia turut mencadangkan cara "baharu dan kreatif" untuk mencapai keamanan di Myanmar.

5PC berkenaan ialah; untuk menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan, ASEAN memberi bantuan kepada Myanmar, utusan khas ASEAN yang dilantik untuk mengadakan perbincangan, dan utusan itu dibenarkan melawat negara berkenaan.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrews ketika melawat Malaysia pada Jun menyuarakan penghargaannya terhadap kepimpinan Malaysia dalam krisis itu.

Myanmar mengalami pergolakan sejak 1 Feb 2021, apabila ketua angkatan tentera Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi - dan sekurang-kurangnya 1,800 orang awam terbunuh sepanjang tempoh itu.

Ketika negara-negara Asia Tenggara cuba mencari jalan penyelesaian bagi krisis di Myanmar, konflik antara Rusia dan Ukraine meletus pada 24 Feb memburukkan lagi situasi ekonomi global selepas dunia dibelenggu pandemik COVID-19.

Operasi ketenteraan Rusia di Ukraine mencetuskan ketegangan geopolitik hingga mendapat kecaman global kerana ia melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati dengan meminta semua pihak yang terlibat dalam krisis itu menghentikan permusuhan dan mencari penyelesaian diplomatik.

Penganalisis pengurusan krisis Nordin Abdullah berkata walaupun Malaysia tidak mengutuk Rusia mahupun mengenakan sebarang sekatan, negara ini tetap menyuarakan pendiriannya - dengan mengambil kira kepentingan strategik teras semua pihak berkenaan.

Malaysia turut mengundi menyokong resolusi bertajuk "Aggression Against Ukraine" pada Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac.

Malaysia, menerusi Penjelasan Undi mengulangi komitmennya terhadap tujuan Piagam PBB serta prinsip asas keutuhan wilayah dan kedaulatan negara yang tidak boleh dilanggar.

Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia juga mengambil langkah segera memindahkan rakyatnya dari Ukraine dengan kumpulan terakhir diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud meninggalkan negara itu pada 27 Februari.

Walaupun 2022 semakin tiba ke penghujungnya, pergolakan di Ukraine tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia akan berakhir, manakala kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global semakin meningkat.

Lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan pada 2 Ogos merupakan satu lagi peristiwa yang mencetuskan ketegangan geopolitik tahun ini, khususnya di Selat Taiwan.

Ketegangan memuncak antara China dan AS berikutan lawatan itu merupakan sebahagian daripada lawatan Pelosi ke Indo-Pasifik termasuk Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun.

Pelosi, 82, dan delegasi kongresnya berlepas ke Taiwan selepas singgah di Malaysia meskipun menerima beberapa amaran daripada China.

China mengumumkan "siri operasi ketenteraan bersasar" di sekitar Taiwan sejurus selepas Pelosi tiba di pulau itu.

Pelosi merupakan ahli politik AS berpangkat tertinggi pertama yang melawat pulau itu dalam tempoh 25 tahun.

China menegaskan, pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya di bawah dasar Satu-China.

Pada 3 Ogos, Malaysia menggesa semua pihak untuk menangani situasi itu dengan cara yang terbaik dan berhati-hati.

2022 mencatatkan peristiwa penting dalam lipatan sejarah ASEAN apabila tiga negara anggotanya - Kemboja, Indonesia, Thailand menjadi tuan rumah tiga sidang kemuncak utama pada November hingga menarik perhatian global.

Kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden AS Joe Biden, Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri Narendra Modi (India), Anthony Albanese (Australia), Jacinda Arden (New Zealand) dan Rishi Sunak (UK) memberi pengiktirafan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap peranan kepimpinan ASEAN dan ia menyaksikan hasil yang ketara.

Tiga sidang kemuncak itu ialah Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan (10-13 Nov) di Phnom Penh, Kemboja, Sidang Kemuncak G20 (15-16 Nov) di Bali, Indonesia dan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (16-19 Nov) di Bangkok, Thailand.

Kehadiran Biden (kecuali di APEC, AS diwakili oleh Naib Presiden Kamala Harris) dilihat sebagai penanda aras bagaimana kuasa besar itu menyantuni kumpulan serantau ketika ia cuba mengimbangi kuasa dengan China di rantau ini dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan.

Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh juga menyaksikan satu lagi peristiwa penting bagi blok berkenaan kerana mengalu-alukan kehadiran Timor Leste, yang kini menikmati status pemerhati dalam kumpulan itu.

Pada 2022, Malaysia terus menyuarakan kebimbangannya terhadap isu global di persada antarabangsa termasuk pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berlangsung pada September.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di UNGA ke-77 sebagai kesinambungan suara neutral dan pragmatik Malaysia di peringkat antarabangsa, terutama ketika berdepan cabaran global yang mendesak termasuk perubahan iklim , keselamatan makanan, inflasi dan konflik Rusia-Ukraine.

Perkara utama yang dibangkitkan Malaysia termasuk gesaan supaya kuasa veto Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dimansuhkan; menyeru negara maju untuk membantu negara membangun yang terjejas akibat perubahan iklim; menangani krisis Palestin; dan mencari penyelesaian yang berkekalan untuk krisis Rohingya Myanmar.

Menjelang penghujung 2022, landskap politik Malaysia berubah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 bagi menerajui kerajaan perpaduan - yang pertama dalam sejarah politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November.

Masyarakat antarabangsa mengalu-alukan pelantikan Anwar dan meletakkan harapan tinggi terhadap dasar luar dan diplomasi Malaysia pada masa hadapan.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu Bernama bahawa sebagai personaliti politik yang terkenal di peringkat antarabangsa, Anwar mampu mengembalikan Malaysia kepada arus perdana dalam hubungan antarabangsa.

Oleh itu, 2023 dijangka memberi kesinambungan yang dinamik membabitkan hubungan antarabangsa Malaysia.

-- BERNAMA