KUCHING:Sebanyak 16 kampung di Lubok Antu, di Bahagian Sri Aman akan dihubungkan kepada grid elektrik bagi membolehkan kira-kira 208 rumah di sekitar Lemanak dan Engkari menikmati pembekalan elektrik 24 jam yang stabil, menjelang hujung tahun ini.

Menteri Utiliti Sarawak dalam satu kenyaaan berkata bagi keseluruhan bahagian Sri Aman termasuk Lubok Antu, liputan kemudahan elektrik di kawasan pedalaman itu ketika ini merangkumi sekitar 94.7 peratus, dengan hanya tinggal 780 rumah yang belum mencapai kemudahan elektrik sepenuhnya.

Menurutnya di bawah fasa pertama skim pembekalan elektrik luar bandar (RES) bagi kawasan itu, sejumlah 114 rumah di sembilan kampung di Lemanak, dijangka menerima sambungan grid menjelang bulan Mei ini manakala 12 rumah dari dua kampung telah disambungkan Disember lepas.

"Fasa dua RES akan menyediakan sambungan kepada 359 rumah dari 18 kampung di Engkari dan baki rumah di Lemanak menjelang 2021/2022.

"Semua kerja-kerja penyambungan diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) memerangi COVID-19," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Stephen berkata sehingga tahun lepas, liputan elektrik di pedalaman Sarawak telah mencapai 95 peratus, melibatkan 6,600 rumah, dan kadar itu dijangka mencapai sehingga 97 peratus bulan akan datang.

Sejak 2009, kira-kira 150,000 rumah di kawasan pedalaman di Sarawak telah menerima bekalan elektrik menerusi pelbagai strategi, seperti sistem sambungan grid bagi kawasan pedalaman dengan akses jalan raya dan sistem hidro mikro, atau sistem tenaga solar bagi kebanyakan kawasan pedalaman.