209 anggota kumpulan terakhir MALLBAT 850-12 selamat tiba di tanah air

Seramai 209 anggota kumpulan terakhir MALBATT 850-12 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini. - Gambar Astro AWANI
SUBANG JAYA : Seramai 209 anggota kumpulan terakhir MALBATT 850-12 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini pada pukul 5:30 petang, sekali gus menandakan penamat rasmi misi setahun pasukan tersebut di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Ketibaan kumpulan itu turut melengkapkan jumlah keseluruhan 854 anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), elemen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Kementerian Pertahanan yang kembali secara berfasa sejak awal bulan ini.
Majlis penerimaan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang menyifatkan kepulangan kumpulan terakhir itu sebagai simbol kejayaan Malaysia dalam melaksanakan misi pengaman di kawasan bergolak.
"Keberhasilan kontinjen ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak lahir daripada satu pihak semata-mata tetapi hasil komitmen yang tinggi yang ditujukan oleh setiap peringkat anggota,dari barisan kepimpinan hinggalah kepada anggota menjalankan tugas di lapangan.
"Inilah kekuatan sebenar MALBATT 850-12, kekuatan yang terbukti apabila berdepan dengan cabaran operasi yang kompleks. Kita semua sedia maklum pada tugasan kali ini hadir dalam suasana yang lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober 2023," katanya dalam ucapan Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir MALBATT 850-12 UNIFIL.
Beliau juga mengiktiraf peranan penting Markas Angkatan Bersama sebagai penyelaras utama operasi, selain kerjasama erat UNIFIL yang memastikan misi berjalan lancar dan berkesan.
Nizam turut menegaskan penyertaan Malaysia dalam misi pengaman PBB menggambarkan komitmen berterusan ATM sebagai angkatan yang dihormati dan berwibawa di peringkat global.
Katanya, pengalaman operasi sebenar yang ditimba di kawasan konflik bukan sahaja mengukuhkan keupayaan ATM, malah terus mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa.
MALBATT 850-12 ke Lubnan pada 6 November tahun lalu dan ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin di selatan Lubnan.
Sepanjang penugasan, pasukan melaksanakan rondaan keselamatan, pemantauan kawasan tanggungjawab serta aktiviti Civil-Military Cooperation (CIMIC) bersama komuniti setempat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


