234 sekolah agama seluruh negara berdaftar sebagai SABK - KPM

Aminuddin berkata pihaknya masih menerima banyak permohonan pendaftaran SABK daripada sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat termasuk 19 daripadanya dari Kelantan. -Gambar fail/Bernama
ALOR GAJAH: Sebanyak 234 sekolah agama di seluruh negara setakat hari ini telah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), selaras usaha kerajaan memperkasa institusi pendidikan Islam di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Aminuddin Hassim berkata pihaknya masih menerima banyak permohonan pendaftaran SABK daripada sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat termasuk 19 daripadanya dari Kelantan.
Beliau menjelaskan kelulusan permohonan melalui proses ketat yang merangkumi peruntukan undang-undang, dasar KPM sedia ada serta perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pendaftaran SABK.
"Kita juga menilai kesediaan sekolah dari aspek status tanah, prasarana, kesiapsiagaan jawatankuasa pengelola serta kualiti guru yang akan diserap di bawah perjawatan kerajaan.
"Kita tidak mahu sekolah agama dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya SABK perlu menjadi institusi pilihan utama dengan prasarana kondusif dan tenaga pengajar terlatih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pendaftaran Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab sebagai SABK di sini hari ini.
Pada majlis itu, Aminuddin menandatangani MoU bagi pihak KPM manakala Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab diwakili Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata perubahan status sekolah bukan untuk menghilangkan identiti asalnya, tetapi KPM akan membantu memperkasa pengurusan harian dan prasarana sekolah supaya pelajar mendapat manfaat sepenuhnya.
"Perubahan status tidak mengubah kuasa jemaah pengurusan sekolah. Mereka mempunyai rakan strategik yang ampuh iaitu KPM.
"Tanah dan aset sekolah kekal milik jemaah pengurusan, manakala KPM mengurus sumber manusia dan menyalurkan bantuan kewangan berdasarkan kemampuan kerajaan," katanya.
Aminuddin berkata proses pendaftaran Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab sebagai SABK dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sekiranya semua dokumentasi dan syarat dipatuhi sepenuhnya.
Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka, yang dibina pada 2012 bagi melahirkan generasi huffaz cemerlang dalam akademik, kini berada di bawah pengurusan MAIM dan Lembaga Pengelola Sekolah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


