KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 243 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Rabu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 217 individu dikompaun manakala 26 individu  lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (40), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (20) dan lain-lain (56)," katanya dalam kenyataan mengenai PKP pada Khamis. 

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 60,038 pemeriksaan semalam memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,873 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,390 anggota telah membuat pemantauan di 3,573 pasar raya, 4,965 restoran serta 1,656 penjaja, 1,256 kilang, 3,525 bank dan 648 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,118 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara," tambahnya. 

Semalam, Operasi Benteng berjaya menahan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas 10 kenderaan darat.

Sebanyak 280 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) (214 SJR), Op Benteng PDRM (57 SJR), dan Op Benteng AKSEM (9 SJR). 

Dalam pada itu, sejak 24 Julai sehingga 25 November 2020, seramai 75,212 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 75 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 10,711 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Seramai 64,096 individu telah dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman.

Selain itu, semalam, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 654 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (163) dan pengilang (33).

Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 753 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 752 premis telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 1 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya lagi.