KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyarankan semua 25 bahagian parti itu menggerakkan usaha menubuhkan sebuah koperasi dan persatuan di daerah masing-masing sebagai usaha mengatasi masalah kemiskinan.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata penubuhan koperasi dan persatuan mampu menjadi platform membangunkan keusahawanan dan kemahiran rakyat di kawasan masing-masing.

"UPKO berasa dukacita kerana daerah Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud dilabel sebagai daerah termiskin di Sabah dan Malaysia. UPKO mesti tampil berkesan bukan hanya untuk menyuarakan masalah rakyat, tetapi menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

"Melalui gerakan koperasi, kita boleh menjana aktiviti keusahawanan rakyat. Melalui gerakan persatuan, kita boleh menjana aktiviti pendidikan dan kemahiran rakyat," katanya dalam kenyataan sempena Konvensyen UPKO Zon A di Kota Marudu hari ini.

UPKO mempunyai 3,560 cawangan dan 25 bahagian iaitu 21 bahagian di Sabah manakala empat lagi di Perak, serta mempunyai 160,041 ahli berdaftar setakat Ogos lepas.

Sementara itu, Ewon berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyediakan cadangan penstabilan harga melalui gerakan koperasi bagi memastikan harga barangan asas yang dijual di koperasi di bandar sama dengan koperasi di pedalaman melalui subsidi pengangkutan.

"Koperasi juga boleh membantu pemasaran pelbagai produk dan perkhidmatan kepada ahli-ahlinya. Kita mempunyai aset iaitu tanah, negara kita masih bergantung kepada bekalan import beras. Jika pengeluar beras ini menghenti eksport ke negara kita, kita boleh berhadapan dengan krisis bekalan beras," katanya.

-- BERNAMA