KUALA LUMPUR: Microsoft Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Junior Achievement (JA) Malaysia menjalin kerjasama bagi meningkatkan tahap kemahiran para graduan dan penganggur di negara ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan menerusi inisiatif Program Kemahiran Digital Bagi Kerjaya Hari Esok itu dijangka mampu memperkasakan kira-kira 25,000 individu.

"Program selaras dengan matlamat kerajaan menerusi MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara untuk membangunkan bakat profesional digital tempatan yang berdaya saing termasuk 30,000 profesional data menjelang 2025, lengkap dengan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan yang giat berubah.

"Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 25,000 rakyat Malaysia menerusi webinar mengenai kemahiran digital dan sains data, berdasarkan sumber daya industri dan latihan Microsoft," demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

Tambah syarikat dan pertubuhan itu lagi, daripada jumlah tersebut, seramai 400 peserta akan dipilih untuk mengikuti kursus intensif yang merangkumi bimbingan mentor dan latihan kemahiran insaniah bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Kenyataan itu berkata, peserta boleh memilih antara lima laluan kerjaya pilihan melibatkan penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan teknologi maklumat (IT).

Kursus-kursus tersebut akan ditawarkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia bagi menggalakkan penglibatan dan memudahkan penyertaan peserta.