KUALA LUMPUR: Sebanyak 250,000 dron untuk pelbagai tujuan termasuk kegunaan peribadi dan pertanian telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) setakat ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata perkembangan pesat penggunaan dron memerlukan penyelarasan menyeluruh menerusi kerangka kawal selia Ekonomi Altitud Rendah (LAE) yang sedang dibangunkan oleh kerajaan.
"Apabila kerangka ini dilancarkan, memang banyak agensi akan terbabit sebab operasi itu bukan hanya melibatkan aspek perniagaan, tetapi juga keselamatan.
“Sudah pastinya dalam proses pembangunan kerangka itu, semua perkara akan dilihat termasuk keperluan mewujudkan pusat khas di bawah CAAM," katanya pada sesi soal jawab.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven tentang rancangan kementerian mewujudkan pusat kawalan khusus bagi menyelaraskan operasi LAE yang melibatkan pelbagai agensi.
Hasbi berkata rundingan awam berhubung kerangka kawal selia LAE akan dimulakan pada Ogos, sebelum dijangka mendapat kelulusan pada September dan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata konsep operasi Mobiliti Udara Termaju (AAM) pula dijadualkan dilancarkan pada Oktober bersempena dengan acara Transport Expo Asia (TXA) 2026.
Kelulusan penggunaan frekuensi dron, katanya, berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan urusan berkaitan dilaksanakan melalui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Beliau berkata selepas itu, butiran operasi dron termasuk lokasi, juruterbang, had ketinggian dan tujuan penggunaan perlu didaftarkan dengan CAAM.
Hasbi berkata beberapa tapak uji selia (sandbox) turut disediakan bagi menyokong pembangunan kerangka berkenaan, antaranya di MRANTI Park, di sini; Iskandar Malaysia, Johor; Universiti Selangor; dan Universiti Malaysia Perlis.
-- BERNAMA