PASIR MAS: Kerajaan Negeri Kelantan bercadang untuk menghubungkan beberapa sungai di sini hingga ke Kuala Pengkalan Nangka di Tumpat bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir di lokasi terbabit menerusi projek bernilai kira-kira RM40 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata cadangan itu masih pada peringkat awal dan kertas kerja berkaitan dijangka disediakan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata projek sepanjang kira-kira 10 kilometer (km) itu melibatkan laluan dari Sungai Lemal Lanchang ke Sungai Meranti, Sungai Mentuan dan seterusnya ke Kuala Pengkalan Nangka.
“Sekarang kita hanya ada muara Sungai Golok. Jika kita dapat membuka satu lagi laluan ke Kuala Pengkalan Nangka, ia boleh menjadi alternatif bagi aliran keluar air dan membantu melancarkan pergerakan air.
“Kerajaan negeri akan memohon peruntukan itu kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di sini hari ini.
Mengulas mengenai PLSB Sungai Golok, Izani berkata projek sepanjang 106 km yang merangkumi tiga fasa itu dijangka siap sepenuhnya pada 2028 bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan terjejas.
Beliau berkata pembinaan ban bagi Fasa 1 mencatat kemajuan 70 peratus, manakala Fasa 2 masih dalam proses reka bentuk dan Fasa 3 mencapai kemajuan 25 peratus.
“Kerja pembinaan ban bagi Fasa 1 boleh dianggap hampir siap, namun masih terdapat beberapa komponen yang perlu diselesaikan, termasuk pembinaan rumah pam dan kemudahan berkaitan seperti jambatan.
“Apabila semuanya siap, risiko banjir diharap dapat dikawal dengan lebih baik. Walaupun mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, kita harap kejadian banjir besar dapat dielakkan dan jika berlaku sekalipun, kesannya tidak terlalu teruk,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan PLSB Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan sebagai antara projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang akan dilaksanakan tahun depan.
Projek itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan memperkukuh sistem tebatan banjir di lembangan Sungai Golok yang sering terjejas akibat limpahan sungai ketika musim tengkujuh.
Dalam perkembangan lain, Izani berkata projek pembinaan Kota Bharu Sentral (KB Sentral) kini dalam proses pelaksanaan susulan kontraktor bagi projek itu sudah dipilih.
Beliau berkata projek berkenaan menggunakan kaedah Built-Operate-Transfer (BOT) tanpa melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri, yang hanya menanggung kos pengambilan tanah berjumlah RM30 juta.
“Kita juga ingin berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha memperuntukkan RM250 juta kepada Kelantan menerusi Belanjawan 2027 bagi pembinaan KB Sentral,” katanya.
-- BERNAMA