Polis menahan 27 individu kerana mengadakan sambutan hari lahir semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah apartment di Seksyen 7, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, 25 lelaki dan dua perempuan warga tempatan berumur lingkungan 19 hingga 37 tahun itu, ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi selepas polis menerima maklumat mengenai insiden tersebut.

Beliau berkata siasatan mendapati unit apartment itu disewa oleh seorang daripada individu berkenaan secara dalam talian, untuk menganjurkan sambutan hari lahir rakan mereka.

"Hasil pemeriksaan ke atas unit apartment tersebut, polis merampas tiga botol minuman keras, tiga lagi botol telah diminum oleh mereka, sebuah pembesar suara mudah alih serta mikrofon.

"Pemeriksaan lanjut juga menemukan sebuah beg hitam mengandungi satu ketulan mampat daun kering disyaki ganja, yang dibalut dengan kertas timah dianggarkan seberat 120 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua tahanan mendapati, sembilan lelaki termasuk individu yang diraikan ulang tahun kelahirannya ke-20 tahun, positif ganja.

Tambah beliau, semakan rekod jenayah pula menunjukkan seorang daripada lelaki yang ditahan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun berkawan, di Teluk Intan, Perak.

Katanya, kesemua individu berkenaan direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA