Sejumlah 27 peratus atau 6,618 daripada 23,929 pengundi biasa telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sehingga jam 10 pagi ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cuaca cerah pagi ini membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka seawal 8 pagi di 11 pusat mengundi.

Calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Simpangan di sini pada 8.40 pagi manakala calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong pukul 8.10 pagi.

Calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary tidak mengundi kerana bukan pengundi berdaftar di DUN Pengkalan Kubor.

Tinjauan Bernama mendapati pengundi warga emas turut dibantu petugas SPR dengan kerusi roda untuk masuk ke pusat pengundian.

Peraih undi kedua-dua calon juga kelihatan berada 50 meter dari pusat pengundian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suasana pengundian di kesemua 11 pusat mengundi berjalan lancar.

Beliau berkata pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana keadaan keselamatan adalah terkawal.

Pihaknya menambah anggota di beberapa kawasan panas sekitar Pengkalan Kubor bagi mengawal keadaan, katanya.

Beliau meminta orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan terutama di kawasan pusat mengundi.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, Wan Rosdi dan Izat Bukhary.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat DUN itu daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU ke-13 pada tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.