PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Nov untuk keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan tarikh keputusan rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihak pembelaan telah memfailkan hujahan tambahan dan pihak pendakwaan juga telah memfailkan hujahan jawapannya seperti yang diminta oleh mahkamah.

Pada 16 Okt lepas, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

Beliau dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1.5 juta selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Dalam prosiding pada 16 Okt lepas, peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd Isa menerima wang tersebut.

Beliau juga berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip undang-undang yang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan di hadapan mahkamah dan beliau juga tidak menilai keseluruhan keterangan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Afzainizam membalas dengan mengatakan bahawa Mohd Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan itu, walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak Ikhwan Zaidel dalam mana-mana urus niaga yang melibatkan jumlah itu dibayar, suapan itu diterima olehnya (Mohd Isa) melalui bekas pembantu Mohd Isa, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Beliau berkata suapan itu dibayar kerana bimbang Mohd Isa mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membatalkan atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu, sambil menambah bahawa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan untuk membeli hotel itu.

-- BERNAMA