Skip to main content

Malaysia

29 cadangan dikemukakan pemungut hasil negeri Melaka

πŒπ„π‹π€πŠπ€ πŒπ„πŒπ€π‚π” ππ„π‘π“π”πŒππ”π‡π€π, πŒπ„πŒππ„π‘πŠπ”πŠπ”π‡ π‡π€π’πˆπ‹ πƒπ„πŒπˆ π‘π€πŠπ˜π€π“ 5 Ogos 2026  Hari ini saya merasmikan Penutup Lab Pemacuan Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2026.
Ab Rauf pada majlis Penutup Lab Pemacu Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka 2026. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh
Advertisement

ALOR GAJAH: Sebanyak 29 cadangan dikemukakan oleh 26 jabatan dan agensi pemungut hasil negeri Melaka dengan anggaran potensi kutipan hasil baharu RM157 juta bagi 2027.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah itu 14 cadangan dikenal pasti untuk pelaksanaan segera manakala sembilan cadangan memerlukan pindaan dasar atau peraturan, sementara cadangan selebihnya diperhalusi sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata antara sumber hasil baharu yang dikenal pasti ialah menetapkan bayaran pengurusan Kawasan Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri melalui Permit Penggunaan Bagi Tujuan Rekreasi Oleh Pihak Swasta dan bayaran kemasukan kepada pengunjung dengan anggaran kutipan RM68,000 setahun.

"Selain itu, pindaan kenaikan kadar sumbangan saliran dengan anggaran kutipan RM10 juta setahun yang akan diakaunkan ke Kumpulan Wang Amanah Caj Saliran Negeri Melaka.

"Seterusnya ialah menyasarkan kutipan Akaun Belum Terima berkaitan tanah melalui diskaun tunggakan kepada pembayar dengan kutipan RM15 juta setahun berbanding jumlah keseluruhan Akaun Belum Terima sebanyak RM93 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Lab Pemacu Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka 2026.

Ab Rauf berkata cadangan seterusnya ialah membangunkan tanah tambakan laut seluas 21.85 hektar di Bandar 44 Mukim Klebang dengan nilai premium lebih RM129.37 juta dan jumlah cukai tanah lebih RM467,000 setahun.

Beliau berkata kutipan hasil negeri setakat 31 Julai lepas turut menunjukkan prestasi cemerlang iaitu mencecah RM319.8 juta atau 60.46 peratus daripada unjuran tahunan sebanyak RM528.9 juta.

"Alhamdulillah, hasil negeri juga meningkat daripada RM427.5 juta pada 2023 kepada RM550.2 juta pada 2025, iaitu peningkatan RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun.

"Ruang untuk menambah hasil negeri masih luas namun yang diperlukan sekarang ialah keberanian untuk membuat keputusan dan disiplin untuk melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata 47 anak syarikat kerajaan negeri mencatatkan keuntungan pada tahun lepas berbanding 39 anak syarikat pada 2024.

Beliau berkata dalam tempoh sama, bilangan anak syarikat yang dikategorikan sebagai β€œICU” telah berjaya dikurangkan daripada 12 kepada lima.

"Bagi memastikan keseluruhan ekosistem agensi dan anak syarikat negeri terus berkembang secara mampan, kerajaan negeri memperkenalkan Program Pembangunan Kapasiti sejak 2023 diikuti pelbagai inisiatif pemantapan termasuk Lab Model Perniagaan Berteraskan Kelestarian serta penilaian prestasi secara berkala," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement