IPOH: Seramai 3,000 penggiat pelancongan di negeri ini sudah menerima vaksinasi melalui program vaksinasi pemain industri, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut dapat membantu melindungi pekerja industri dan pelanggan daripada risiko jangkitan wabak COVID-19, apabila sektor itu dibuka semula.

Ujarnya, berdasarkan data yang dikemas kini Tourism Perak melalui persatuan pelancongan, terdapat lebih 5,000 penggiat industri pelancongan termasuk pengusaha, kakitangan hotel, agensi pelancongan dan pengembaraan, pemandu pelancong dan pengusaha spa di negeri ini.

"Selain 3,000 yang sudah divaksinasi, selebihnya iaitu 2,000 orang pula akan diserapkan ke dalam program 'outreach' Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi mereka.

"Kerajaan negeri memandang serius akan kepentingan pemberian vaksinasi kepada semua rakyat negeri Perak tidak terkecuali penggiat industri pelancongan sebagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Nolee Ashilin berkata, program vaksinasi akan mengembalikan keyakinan pengunjung terhadap sektor pelancongan khususnya di negeri Perak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk merangsang semula sektor pelancongan melalui insiatif yang relevan dan bersesuaian dengan pendekatan gelembung pelancongan.

"Mengikut Laporan Pelancongan Jabatan Perangkaan Negara, Perak menerima kedatangan pelawat domestik kedua tertinggi pada tahun lalu iaitu 13.17 juta pelawat (selepas Selangor) dan pelawat bermalam sekitar 4.9 juta orang (selepas Pahang) yang menjana sebanyak RM3.8 billion dari segi 'tourist spending' di dalam negeri,'' katanya.

Ujarnya lagi statistik itu menunjukkan Perak masih lagi menjadi pilihan pelancong domestik walaupun berdepan dengan situasi sukar bersandarkan kepada kepelbagaian produk pelancongan yang boleh diterokai.

"Kita mesti mengambil peluang melalui kekuatan negeri sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan utama negara untuk memulih dan menjana ekonomi rakyat Perak yang terbabit dalam sektor perkhidmatan ini sebelum sempadan dibuka.

"Negeri Perak kini berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan sektor pelancongan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya.

"Kerajaan negeri akan mengambil beberapa insiatif strategik dalam masa terdekat dan pada waktu yang sama mengadakan kerjasama erat dengan pemain industri,'' katanya.