Dek kerana begitu marah dengan seorang peminjam wang yang sengaja tidak mahu membayar wang yang dipinjamnya, tiga lelaki yang bekerja sebagai ‘Along’ telah menculik seorang lelaki yang juga adik kepada seorang peminjam wang.

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan wang yang dipinjam itu semula gagal apabila mereka berjaya diberkas tidak sampai 24 jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis menerima maklumat pada tengah malam hari Khamis dari seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu restoran yang mendakwa adiknya telah diculik.

“Lelaki berusia 25 tahun itu mengatakan bahawa dia menerima panggilan dari salah seorang penculik sekitar jam 1 petang yang mengatakan bahawa adiknya dalam tahanan mereka selepas diculik dari rumah adiknya itu di Kampung Jawa, Klang,” kata Mohd Adnan.

Para penculik itu turut meminta wang tebusan sebanyak RM9,000 untuk pembebasan adiknya itu.

Menurut penculik itu juga, abang sulung mangsa yang berusia lewat 20an ada berhutang wang sebanyak RM9,000 dengan mereka untuk tujuan perniagaan jadi tindakan itu dilakukan sebagai cara untuk mendapatkan wang mereka itu kembali.

Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis dalam jam 12.10 pagi pada hari Khamis dan pasukan penyiasat polis berjaya mengesan mangsa dua jam kemudiannya.

“Polis telah pergi ke sebuah rumah terbiar di Taman Maznah di sekitar Kampung Jawa Klang pada jam 2.10 pagi dan menahan empat orang termasuk seorang wanita warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 44 tahun dalam rumah berkenaan,” beliau berkata.

Mangsa yang berada dalam rumah tersebut berjaya diselamatkan dan polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry, sebuah motosikal Yamaha, dua batang rotan, tiga keping buku nota, dua keping buku cek dan lima unit telefon bimbit dari suspek.

Siasatan awal mendapati tindakan suspek tersebut lebih menjurus kepada balas dendam kerana kegagalan abang sulung mangsa membayar hutang yang dipinjam dari mereka.

Mangsa yang trauma dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek direman sehingga 3 Mac untuk membantu siasatan dibawah kesalahan culik dan pemerasan harta.