Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menjelaskan 30 buah kilang kimia di Pasir Gudang akan disiasat berhubung pencemaran yang menjejaskan 75 mangsa pada isnin.

Menurutnya, 30 daripada 265 buah kilang itu berada dalam kawasan radius 15 kilometer dari beberapa buah sekolah yang terkesan.

“Ada 30 buah kilang bahan kimia kita fokus untuk disiasat ketika ini. Jika bahan kimia kilang itu dengan hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hampir sama dengan bahan kimia yang menyebabkan mangsa sesak nafas serta muntah-muntah ,maka tindakan penutupan serta merta akan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stadium Perbandaran Pasir Gudang pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Dr Sahruddin menjelaskan, hasil siasatan berkenaan punca pencemaran udara akan diketahui dalam tempoh 2 hari lagi selepas keputusan dikeluarkan Jabatan Kimia atau Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Mengulas mengenai hasil ujian darah terhadap mangsa, beliau berkata, daripada 15 sampel yang diambil menunjukkan keputusan negatif bahan kimia.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan agar menggunakan topeng muka sepanjang berada di luar rumah.

Jika mengalami simptom seperti muntah-muntah atau sesak nafas, dinasihatkan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.