Tiga puluh mangsa banjir melibatkan enam keluarga dari Kampung Titi Besi, Guar Sanji dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata PPS berkenaan mula dibuka malam ini selepas beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan turun tanpa henti sejak kira-kira 3 petang Sabtu.

"Kita harap orang ramai yang terjejas segera berpindah ke PPS jika rumah mereka terus dinaiki air bagi mengelak perkara buruk berlaku," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan di PPS Dewan Sivik malam tadi.

Sementara itu, Rozieana yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata enam keluarga di Pekan Pauh dan Kampung Gurin Tengah dalam kawasan DUN Pauh turut terjejas apabila rumah mereka dinaiki air.

"Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada pemindahan mangsa banjir dibuat (dalam DUN Pauh). Namun, kami menasihati mereka agar mengambil langkah berjaga-jaga dan segera berpindah jika paras air terus meningkat," katanya.

Seorang daripada mangsa, Nur Hijrah Haron, 23, berkata beliau yang baru sahaja habis pantang bersama bayinya yang berusia 45 hari terpaksa bermalam di PPS Dewan Sivik selepas rumah mereka dinaiki air.

Pekerja swasta itu berkata rumahnya di Kampung Titi Besi, Guar Sanji mula dinaiki air paras lutut kira-kira 8 malam tadi.

"Saya bersama ibu, dua orang anak dan dua orang adik mula dipindahkan ke PPS dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira 10 malam," katanya kepada pemberita.

Menceritakan pengalamannya, ibu kepada dua orang anak itu berkata beliau hanya membawa barang dan dokumen penting sahaja ke pusat pemindahan.

"Nasib baik jiran datang membantu ketika air naik, pada masa itu saya terus mendukung bayi saya, manakala anak lelaki berusia 2 tahun diselamatkan adik perempuan saya," katanya.

-- BERNAMA