IPOH: Seramai 311 individu dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas didapati bersesak-sesak ketika menyambut Ambang Tahun Baharu 2022 di sebuah restoran di Jalan Sultan Yussuf di Ipoh, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil pemeriksaan mendapati pelanggan di restoran tersebut gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter.

Katanya premis yang sepatutnya memuatkan 100 pelanggan itu bertukar menjadi kelab hiburan apabila beroperasi dalam keadaan gelap selain memasang muzik yang kuat.  

“Pada malam ini kita akan mengeluarkan kompaun ke atas semua pelanggan yang hadir di restoran tersebut, juga tuan punya restoran ini.

“Daripada statistik tadi kita dapati 177 pelanggan lelaki, 99 wanita dan kita juga dapati seramai 35 orang yang di bawah umur,  underage, berada di restoran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau operasi berkenaan di Ipoh, pada malam tadi.

Premis yang sepatutnya memuatkan 100 pelanggan itu bertukar menjadi kelab hiburan apabila beroperasi dalam keadaan gelap selain memasang muzik yang kuat. - Foto Astro AWANI

Sementara itu Mior Faridalathrash memberitahu seramai 901 pegawai dan anggota polis daripada Kontinjen Perak telah digerakkan dalam operasi khas cegah jenayah sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2022.

Ujarnya operasi operasi selama 12 jam bermula pukul 6 petang Jumaat itu melibatkan 48 pasukan serbuan, 74 sekatan jalan raya (SJR) dan 106 orang bagi rondaan cegah jenayah.

Jelas beliau tumpuan operasi adalah bagi menjamin keselamatan orang awam di kawasan tumpuan selain mahu memastikan semua pihak mematuhi sop mengekang COVID-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).