3,141 premis tawar Menu Rahmah di seluruh negara - Fuziah

Mee rojak dan bakso antara makanan Menu Rahmah yang dijual dengan harga RM5 ketika program turun padang Jom Cari Menu Rahmah di Tanjung Gosong, Pekan, baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh berkata sebanyak 3,141 premis berdaftar di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, setakat ini.
Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilancarkan pada Januari 2023 di bawah agenda Payung Rahmah itu terus mendapat sokongan semua pihak.
"KPDN percaya dengan adanya sokongan daripada pengusaha restoran di seluruh Malaysia, Menu Rahmah akan kekal sebagai pilihan terbaik rakyat untuk mendapatkan makanan sihat, seimbang dan berpatutan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA) di sini semalam.
Fuziah turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan PRESMA dalam menyokong inisiatif kerajaan itu dengan menjadi rakan industri menerusi surat hasrat (LOI) bagi menyediakan Menu Rahmah untuk rakyat."Komitmen ini amat kami hargai kerana ia membuktikan bahawa pengusaha restoran bukan sahaja memikirkan keuntungan tetapi juga mempunyai jiwa prihatin terhadap kebajikan rakyat," katanya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi PRESMA termasuk berkaitan kekurangan tenaga kerja, Fuziah menasihati persatuan yang mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan hampir 10,000 restoran itu supaya memohon kuota penggantian pekerja asing mengikut kes atau case by case basis yang diperkenalkan kerajaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami