Sebanyak 349 orang daripada 87 keluarga di 10 buah kampung sekitar Baling dipindahkan ke enam pusat pemindahan akibat banjir, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling.

Pegawai JKM Daerah, Syamsul Izrin Isahak berkata kesemua mangsa itu mula dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sejak malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air.

"Kesemua mangsa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan Dewan Batu 48, Kompleks Belia dan Sukan Batu 42, Dewan Banggol Derum, Tadika Gua Reban, Dewan Charuk Syikin dan Dewan Kampung Jenalik," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata 10 buah kampung yang terjejas antaranya ialah Kampung Chenderai, Kampung Batu 8, Kampung Lahar, Kampung Banggol Derum, Kampung Tanjung Merbok dan Kampung Jenalik.

Katanya pihak JKM Baling menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa terlibat di pusat-pusat pemindahan termasuk makanan dan minuman, tikar serta tilam.

Penguasa Bomba Daerah Mohd Naim Mat Jaafar pula berkata, penduduk terbabit mula dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan mulai kira-kira pukul 9 malam semalam.

Operasi malam tadi katanya, turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan JKM Malaysia.