Sejumlah 37 kematian akibat demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 2 Februari lalu, ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Menurutnya, Selangor terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 12 kes.

"15,251 kes denggi dicatatkan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 7,355 kes berlaku di Selangor, dan jumlah kematian ialah 37 orang.

"Jumlah kes kematian di Selangor ialah 12 kes, Pulau Pinang tujuh kes, Terengganu enam kes, Negeri Sembilan lima kes, dan Johor dua kes," katanya dalam sidang media selepas melawat lokaliti hotspot di Apartmen Seri Cempaka, di sini hari ini.


Beliau berharap semua penduduk bekerjasama bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes termasuk membuang sampah di kawasan yang sepatutnya.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan digesa terus meningkatkan pemantauan dan aktiviti pembersihan bagi mencegah kes denggi.

"Pembiakan nyamuk Aedes ialah sebab kelemahan dalam kawalan persekitaran. Kalau kita boleh menghapuskan semua tempat pembiakan, jadi tiadalah kes," ujar beliau.