Sejumlah 4,267 guru yang terpaksa berpisah dengan pasangan masing-masing kerana menjalankan tugas berjaya disatukan semula dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata lebih 20,000 guru berduka lara itu masih dalam pertimbangan pihak kementerian.

Menurutnya, dijangkakan menjelang hujung tahun ini, lebih banyak lagi permohonan dan kes mereka dapat diselesaikan apabila permohonan pertukaran dibuka semula September ini.

“Kebetulan tahun ini, tahun 2016, adalah tahun permulaan kepada umur 60 pencen ataupun bersara wajib, jadi ramailah yang dapat keluar dan pengisian boleh dibuat.

“Untuk pertukaran ini, kita beri keutamaan kepada yang telah lama berpisah dahulu,” kata Mahdzir.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.

Program khas untuk menyelesaikan duka lara guru-guru itu dimulakan sejak Mahdzir dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada Julai 2015.