KUALA LUMPUR: Empat penjawat awam ditahan reman empat hari kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi mengesan seorang lagi suspek yang turut terlibat dengan sindiket sama di mana ia dibawa masuk secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Isnin.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 40 hingga 50-an ditahan di sekitar Lembah Klang antara pukul 11.30 pagi dan 4 petang, Isnin.

Kata sumber, penahanan suspek dibuat dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

“Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya di sini pada Selasa.

Susulan operasi ini, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

"Sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

"Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut.

Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.