IPOH: Empat lelaki termasuk tiga warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi sogokan kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Plaza Tol Sungkai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian petang Rabu lalu, seorang pemandu tempatan berusia 47 tahun cuba memberi sogokan kerana tidak mempunyai surat rentas negeri.

"Lelaki itu membawa tiga warga Bangladesh yang mempunyai dokumen pengenalan diri di dalam kereta berkenaan. Kesemua mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan.

"Lelaki tempatan itu cuba merasuah polis dengan memberi RM150 untuk melepaskan diri daripada SJR, disebabkan mereka tiada surat rentas negeri.

"Kesemua mereka ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke SJR di Plaza Tol Ipoh Selatan, arah utara pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash turut memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya patuh kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Tambahnya, terdapat 33 lokasi SJR di Perak yang merangkumi SJR tetap, SJR Op Benteng, SJR bergerak dan SJR bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia melibatkan kekuatan seramai 290 orang pegawai polis dan 209 orang dari Pasukan Sahabat.

Katanya, 457 kumpulan pemantauan pematuhan digerakkan di seluruh negeri ini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis perniagaan dan tempat tumpuan ramai.