Sekurang-kurangnya 40 meteor kelihatan muncul di Port Dickson sekitar jam 12 hingga 5 pagi tadi kata saksi seorang blogger Shahrin Ahmad, yang juga merupakan seorang ahli astronomi amatur.

“Kami hanya melihat 40 meteor kerana terdapat cahaya lampu di bandar Port Dickson dan ia berawan. Kalau ia gelap dan cuaca bagus, selalunya kita dapat jumpa 100 meteor setiap jam,” kata Shahrin yang menganjurkan program untuk mematuhi hujan meteor di Balai Cerap Telok Kemang.

Namun, tidak banyak gambar dapat dirakam kerana meteor muncul secara rawak.

Di Kuala Lumpur, ramai yang ternanti-nanti hujan meteor yang dilaporkan dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam Isnin hingga Subuh pada hari Selasa.

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam.

Ramai yang tidur lewat untuk menanti pancuran meteor Perseid namun ada yang kecewa kerana tidak mendapat melihat hujan meteor. Bagi mereka yang menetap di Kuala Lumpur, apa yang berlaku adalah hujan lebat yang turun awal pagi tadi.







Berikut adalah video yang dimuat naik oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) di laman YouTube yang merakam pancuran meteor Perseid secara langsung:


Kongsi pengalaman anda. Adakah anda juga ternanti-nanti untuk melihat hujan meteor awal pagi tadi?