KUALA LUMPUR: Sebanyak 402 kes rampasan berkaitan rokok elektronik yang mengandungi bahan terlarang atau dadah sintetik direkodkan setakat April 2026.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dapatan tersebut disifatkan sebagai ancaman serius kepada kesihatan awam, khususnya dalam kalangan remaja.
"Senarai bahan terbabit termasuk benzodiapzepines, nimetazepam, MDMA, cannabidiol (CBD), tetrahydrocannabinol (THC) dan juga methamphetamine. Kesemua dada sintetik itu pastinya terlarang untuk digunakan, dijumpai dalam pembuatanvape.
Beliau berkata dapatan tersebut menjadi antara asas kepada hujah bahawa wujud keperluan untuk tindakan lebih tegas terhadap rokok elektronik.
"Dengan itu saja sudah menjadi satu bukti dan hujah yang kuat untuk mengharamkan vape. Kita lihat sahaja Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan yang mencadang keras untuk vape diharamkan dan juga pihak-pihak lain," beliau berkata demikian kepada media di ibu negara selepas menghadiri Program Cik Era Naik MRT di MRT Putrajaya, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu kini dalam perhatian kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyokong pendekatan menyeluruh dalam menanganinya.
"(Insiden ini) serius dan kita tahu daripada laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM serta bukti-buktinya itu (dan) apabila membuat kajian penyediaan vape, ternyata memang ada dadah sintentik (seperti) methamphetamine dan sebagainya.
"Kita sedang dan telah mengambil pendekatan yang sangat serius dan ini adalah pendekatan Whole-of-Government (bukan sahaja) melibatkan KKM, tetapi khususnya PDRM dan yang lain-lain juga," tambahnya.