JOHOR BAHRU: Polis menahan 41 individu termasuk lima warga asing dalam dua operasi berasingan di pusat hiburan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata Op Hibur Bersepadu yang bermula kira-kira 1 pagi itu turut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati lapan lelaki dan dua wanita dengan tiga daripadanya merupakan warga asing, positif terhadap dadah jenis Benzodiazepines, Tetrahdyrocannabinol (THC) dan Methamphetamine.

"Sebanyak 24 individu dengan dua daripadanya warga asing turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 19 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

"Kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun dan mereka diserahkan kepada JAINJ untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata dalam satu lagi operasi yang dijalankan pada 12.30 tengah malam semalam, polis menahan empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 68 tahun selepas saringan air kencing mendapati mereka positif terhadap dadah jenis THC, Amphetamine, ketamin dan Methamphetamine.

"Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah.

"Polis turut merampas sejumlah barangan antaranya dua pembesar suara jenama Gogo, satu 'deck' jenama Numark, satu 'equalizer controller' jenama DMX512, satu amplifier jenama Gogo, dua resit jual beli pusat hiburan dan wang tunai berjumlah RM1,955," katanya.

Beliau berkata kesemuanya direman hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA