Sejumlah 443,883 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berlangsung dari 6 Nov hingga 4 Dis ini.

Dalam kenyataan pada Selasa, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata sebanyak 3,363 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan seramai 35,341 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Daripada 443,883 calon, sebanyak 87 peratus adalah calon dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (1.9 peratus), calon sekolah menengah agama negeri (1.9 peratus), calon sekolah menengah agama rakyat (0.4 peratus), calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM (3.4 peratus) dan calon persendirian (5.4 peratus).

"Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung,

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my," katanya.

Kementerian itu berkata calon juga diingatkan untuk membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

--BERNAMA