SEREMBAN: Sebanyak 42 daripada keseluruhan 1,321 masjid dan surau di Negeri Sembilan diarahkan tutup sementara susulan berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaahnya setakat semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jumlah itu melibatkan 27 masjid dan 15 surau selain tiga masjid diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ada masjid dan surau yang diarah tutup termasuk di Seremban dan Jelebu dalam tempoh tujuh atau sehingga 14 hari berdasarkan nasihat dan arahan Pusat Kesihatan Daerah manakala akibat pelanggaran SOP penutupan sekurang-kurangnya tujuh hari.

"Bagaimanapun, sebahagian pusat ibadat berkenaan sudah dibenarkan beroperasi semula seperti biasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata beberapa kluster keagamaan dikesan di negeri ini dan masih aktif sehingga hari ini termasuk Kluster Jalan Bukit Belida dan Kluster Kampung Bangkahulu.

Katanya sebarang keputusan yang dibuat kerajaan negeri adalah berdasarkan syor MKN dengan melihat trend kes harian COVID-19 yang semakin meningkat di negeri ini.

Hari ini, Negeri Sembilan merekodkan 189 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu sebanyak 21,213 kes.

-- BERNAMA