Susulan banjir yang melanda daerah Kampung Labu Lanjut yang masih belum reda, kira-kira 15 keluarga membabitkan 47 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara.

Kesemua mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu KAFA Interegasi Kampung Labu Lanjut membabitkan sembilan keluarga dengan 23 mangsa.

Manakala enam keluarga membabitkan 25 mangsa pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Labu Lanjut.

Hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lalu menyebabkan air naik begitu pantas.

Rata-rata penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan rumah termasuk kenderaan.

Tinjauan di kawasan terjejas mendapati paras air semakin meningkat dan dijangka lebih ramai mangsa akan dipindahkan sekiranya hujan masih berterusan.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang melakukan tinjauan di lokasi banjir pada Isnin berpuas hati dengan tindakan pantas petugas dan sukarelawan.

Ia terdiri daripada Pejabat Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Anggota Pertahanan Awam (APM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).