PUTRAJAYA :48 individu dan syarikat menerima Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik melibatkan 54 projek industri muzik berjumlah lebih RM5.54 juta.

Surat tawaran diserahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah dalam sesi yang diadakan secara maya di Putrajaya.

DKD Muzik akan memberikan fokus kepada tiga objektif iaitu menggalakkan penggiat industri dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran muzik yang berdaya saing dan membangunkan modal insan yang berkualiti bagi perkembangan bakat serta potensi.

Selain itu, ia turut menumpukan kepada usaha membangunkan industri muzik yang berdaya saing serta dapat memberi impak ekonomi yang positif.

DKD yang dahulunya dikenali dengan nama Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) mula diperkenalkan pada April 2015 sebagai kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang telah dilancarkan pada tahun 2012.

Menyedari potensi ekonomi dan karya kreatif yang dapat dibangunkan melalui industri muzik, KKMM memperluas skop DKD kepada industri muzik pada 2020.