KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasmi bersetuju menawarkan sejumlah 488 acara dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan jumlah acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan dan telah diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menurut kenyataan itu, setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk membolehkan ia dipertandingkan, dan akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan diikuti Miri (enam jenis) diikuti Sibu, Mukah dan Bintulu masing-masing tiga jenis sukan.

Selain itu, Samarahan akan mempertandingkan dua jenis sukan, Serian dan Sri Aman masing-masing satu jenis bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

"Penganjur telah mengenal pasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet daripada 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri," menurut kenyataan itu.

MSN memaklumkan antara isu lain yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma ialah sejumlah 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan MSN dan Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara Kontinjen Negeri yang terlibat.

Sekretariat Sarawak turut menetapkan Detik 100 Hari menjelang SUKMA Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei dan disempurnakan oleh Premier Sarawak.

-- BERNAMA