KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 dalam negara hari ini direkodkan sebanyak 4,965 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pertambahan angka baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,667,999.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah jangkitan baharu itu, sebanyak 4,936 kes merupakan penularan tempatan manakala 29 pula kes import. 

Daripada jumlah kes baharu itu juga, 98.1 peratus bersamaan 4,869 kes merupakan pesakit kategori 1 dan 2.

Sementara 96 jangkitan lagi atau 1.9 peratus merupakan pesakit kategori 3,4, dan 5.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga, kata Dr Hisham, merekodkan 4,817 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 2,576,870 atau 96.6 peratus. 

Dalam pada itu, sebanyak 437 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 240 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Sehingga pukul 12 tengah hari Selasa juga, sembilan kluster baharu direkodkan menjadikan jumlah kluster aktif ketika ini sebanyak 235 kluster. 

Maklumat terperinci perkembangan pandemik itu akan dimuat naik KKM di laman COVIDNOW.

Sementara itu, data turut merekodkan sehingga pukul 11.59 malam Isnin, sebanyak 60,329 kes aktif dan 5,894 kes sembuh dilaporkan.

Sebanyak 38 kematian juga dicatatkan termasuk brought-in-dead (BID) menjadikan jumlah kematian setakat ini 30,652 kes.