SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:


1. Petisyen #Support Maszlee raih lebih 225,000 tandatangan

Selepas lebih 12 jam, petisyen mendesak agar Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan meraih lebih 225,000 tandatangan.

Petisyen yang dilancarkan petang Khamis itu oleh individu yang menamakan dirinya Tuah Kencana pada mulanya hanya meletakkan sasaran awal 50,000 tandatangan, namun jumlah itu terus meningkat.

Dr Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan menerima peletakan jawatan Maszlee dan bakal mengumumkan penggantinya dalam masa terdekat.



2. PRK Kimanis: Karim Bujang diumum calon PH-Warisan

Ketua Warisan Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH)-Warisan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari nanti.

Ia menyusul selepas pemilihan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).



3. Kebakaran zoo Jerman, tiga wanita disiasat

Seorang ibu bersama dua anaknya disiasat polis berhubung dakwaan mencetuskan kebakaran yang menyebabkan kematian lebih 30 haiwan di zoo Jerman pada Khamis.

Tiga wanita itu yang berusia 30 hingga 60 tahun menyerah diri di balai polis di Krefeld pada 1 Januari lalu selepas pihak berkuasa mengadakan sidang media berhubung kebakaran itu.

Ketiga-tiga mereka kini disiasat atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kebakaran yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun.



4. Keputusan pendakwaan kes anak Mohamad Sabu hari ini

Keputusan pendakwaan kes melibatkan pertuduhan dihadapi anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, berhubung penyalahgunaan dadah bakal diumumkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 13 Jun lalu atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di Ibu negara pada awal Januari tahun lalu.

Ahmad Saiful Islam ditahan dalam Op Pusat Hiburan Bersepadu oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya.



5. Keputusan Liga Perdana Inggeris

Liverpool 2 - 0 Sheffield United

Mohamed Salah 4'
Sadio Mane 64'



Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Khamis di sini.