Seramai 50 individu yang enggan memakai pelitup muka dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah antara 101 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Khamis.

Bagi kesalahan enggan memakai pelitup muka di tempat sepatutnya adalah 26 individu manakala yang ingkar PKPD sebanyak 24 individu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diikuti kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal sebanyak 19 individu, gagal menyediakan peralatan/ merekod butiran diri (13 individu), tangkapan terhadap pendatang tanpa izin (PATI) (10 individu), aktiviti dalam kelab malam (enam individu) dan tiga ditahan kerana premis beroperasi lebih masa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 86 individu dikompaun manakala 15 lagi direman.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 56,758 pemeriksaan semalam (17 September 2020) bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya pada kenyataan akhbar di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, pematuhan juga melakukan pemantauan di 3,569 pasar raya, restoran (4,811 premis), penjaja (1,380 premis), kilang (1,029 premis), bank (1,137 premis) dan 718 pejabat kerajaan.

Katanya, pasukan itu turut memeriksa 1,610 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (227 terminal) dan 101 terminal pengangkutan udara.

Beliau memberitahu, menerusi Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu, sebanyak 9,988 operasi sanitasi merangkumi 135 zon dilakukan.

Jelasnya, 13,013 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,712 pusat perniagaan, bangunan kerajaan (5,730), kawasan perumahan termasuk PPR (1,600), tempat awam ( 2,617) dan 354 pasar raya.

"Semalam (17 September 2020), sebanyak lapan operasi sanitasi meliputi dua zon merah, satu zon kuning dan empat zon hijau yang melibatkan lima buah negeri antaranya Sabah (tiga operasi) dan masing-masing satu di Melaka, Sarawak, Pahang dan Kedah.

Operasi sanitasi itu katanya, melibatkan 45 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 66 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT). Enam jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi.