IPOH: Seramai 500,000 pengunjung dijangka hadir ke Ipoh sepanjang empat hari bermula Rabu (24 Januari) hingga Sabtu (27 Januari) sempena sambutan perayaan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, seperti tahun sebelumnya terdapat lencongan dan penutupan jalan bagi memberi ruang kepada perayaan serta perarakan pedati juga kavadi di sini.

"PDRM daerah Ipoh menjangkakan kehadiran pengunjung seramai 500,000 orang sepanjang empat hari sambutan hari Thaipusam.

"Antara acara utama ialah perarakan pedati (chariot) dan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.

"Perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar bermula pada Rabu jam 6 pagi dan dijangka selesai jam 12 tengah hari.

"Manakala, perarakan balik pedati dari Kuil Sri Subramaniar ke Kuil Sri Maha Mariamman bermula Jumaat jam 4.30 petang dan dijangka selesai pada Sabtu jam 9 pagi," katanya.

Sehubungan itu katanya, lencongan serta penutupan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan semasa perarakan pedati melibatkan jalan berikut:

Bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari, Buntong melalui Jalan Sungai Pari- Jalan Tun Perak.

Jalan Tun Perak-Jalan Lahat.

Jalan Lahat-Jalan Perhentian.

Jalan Lahat-Jalan Sultan Yusof.

Jalan Sultan Yusof-Jalan Sultan Iskandar.

Jalan Sultan Idris Shah-Lampu isyarat Jalan Laxamana.

Jalan Sultan Idris Shah- Lampu isyarat Jalan Raja Musa Aziz.

Jalan Datuk Onn Jaafar-Jalan Raja Musa Aziz

Jalan Raja Musa Aziz-Jalan Dato' Ahmad Said.

Jalan Raja Musa Aziz-Bulatan Hospital.

Dalam pada itu, Yahaya menambah, perarakan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar bermula pada Rabu dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan Khamis dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Sehubungan itu katanya, lencongan dan penutupan jalan akan dilaksana secara berperingkat di jalan seperti Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusof, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato' Onn Jaafar serta Jalan Raja Musa Aziz.

"Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya di Ipoh supaya merancang perjalanan dan sentiasa mematuhi arahan daripada petugas polis trafik di jalan yang terbabit dalam lencongan serta penutupan berperingkat," katanya.