KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma bagi kemudahan orang ramai ke dua kuil tumpuan sempena sambutan Thaipusam Khamis ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga di Pulau Pinang.

Kenyataan itu memaklumkan di ibu negara, perkhidmatan bas akan bermula dari 5 pagi, pada 24 Jan sehingga 12 tengah malam, 26 Jan dengan kekerapan 10 ke 15 minit, melibatkan laluan BC02 iaitu Hab Bandar Pasar Seni (Platform A8) - Batu Caves, BC03 (Stesen LRT Gombak - Batu Caves) dan BC04 (Stesen MRT Kg Batu-Batu Caves).

BACA: Ingin rancang perjalanan sempena Thaipusam? Ikuti antara inisiatif MOT

Di Pulau Pinang, perkhidmatan akan bermula 12 tengah malam, 24 Jan hingga 2 pagi, 26 Jan dengan kekerapan 20 hingga 30 minit, manakala sejam dari 1 pagi hingga 5 pagi bagi laluan ST01 iaitu Jetty - Adventist (melalui Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga)

Rapid Bus dalam pada itu turut mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada penganut Hindu seluruh negara dan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan itu boleh didapati di laman media sosial Rapid KL dan Rapid Penang.

-- BERNAMA