Sebanyak 545 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan semalam di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata dalam operasi yang bermula kira-kira 10 pagi dan berakhir pada 2.30 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang remaja berusia 16 tahun disyaki terlibat dalam kes curi motosikal.

Katanya, tiga fokus utama operasi berkenaan ialah mengesan kesalahan trafik, mencegah jenayah curi kenderaan dan memastikan pengguna jalan raya bebas daripada pengaruh dadah.

"Operasi ini dijalankan berterusan dan malam ini kita fokus kepada tiga perkara berkenaan selain daripada operasi perjudian dan maksiat yang turut kita bagi tumpuan," katanya kepada pemberita selepas hadir di operasi yang dijalankan di Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Dalam operasi itu, sebanyak 32 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan dan seorang lelaki turut ditahan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol manakala seorang lagi lelaki ditahan positif ujian saringan air kencing, katanya.

Mazlan berkata, seramai 12 pegawai dan 121 anggota terlibat dalam operasi yang dijalankan di Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen itu.

-- BERNAMA