MALAYSIA
59 pegawai, anggota polis dibuang kerja dalam tempoh lima bulan pertama 2025

Azri berkata kebanyakan mereka yang dikenakan hukuman berkenaan terlibat dengan kes dadah, diikuti isu integriti, jenayah, rasuah dan syariah. - Gambar fail
MARAN: Sebanyak 59 daripada 492 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenakan tindakan tatatertib telah dibuang kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.
Ringkasan AI
- Sebanyak 59 pegawai dan anggota PDRM dibuang kerja dalam lima bulan pertama 2025, kebanyakannya atas kesalahan berkaitan dadah, selain integriti, jenayah, rasuah dan syariah.
- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menerima lebih 2,600 aduan tatakelakuan, dan memperkenalkan aplikasi Aduan JIPS bagi memudahkan laporan dengan jaminan kerahsiaan pengadu.
- Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad menamatkan perkhidmatan selepas 37 tahun, dan menerima penghargaan atas sumbangan integriti dalam pasukan PDRM.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai.
Azri turut memaklumkan dalam tempoh sama, JIPS telah menerima 2,637 aduan dan maklumat berkaitan tatakelakuan warga PDRM daripada pelbagai pihak.
Beliau yang genap empat tahun mengemudi pasukan JIPS hari ini, turut berterima kasih kepada masyarakat kerana terus meletakkan keyakinan dengan menyalurkan aduan dan maklumat berharga.
"Berdasarkan statistik tindakan tatatertib yang telah dikongsikan, PDRM ingin memberi jaminan bahawa mana-mana pegawai polis didapati melanggar salah laku atau melakukan sebarang bentuk jenayah dan sebagainya, diambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi," katanya.
Azri yang bakal meninggalkan pasukan Sang Saka Biru pada 26 Jun ini selepas 37 tahun berbakti turut memaklumkan aplikasi Aduan JIPS PDRM yang baru dilancarkan pada 4 Jun lepas telah menerima lebih 23 aduan dan memberi jaminan identiti pengadu dilindungi.
Sementara itu, Yahaya dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan atas sumbangan, komitmen, integriti dan profesionalisme ditunjukkan Azri sepanjang tempoh perkhidmatan.
Selain itu, beliau memaklumkan IPD Maran mempunyai enam balai polis iaitu Balai Polis Maran, Sri Jaya, Chenor, Pekan Awah, Bandar Jengka dan Sungai Jerik, dengan jumlah keseluruhan 335 pegawai dan anggota serta pegawai awam.
Beliau berkata IPD Maran yang telah beroperasi sejak Dis 2012 bukan sahaja mencerminkan kemajuan dari segi infrastruktur, tetapi juga menjadi simbol komitmen berterusan PDRM dalam memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami